Skip to main content

Perkhidmatan

Permohonan Permit CITES

Apakah Permit CITES?

CITES ialah Convention on International Trade in Endagered Spesies of Wild Fauna and Flora atau Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Fauna dan Flora Liar yang Terancam Pupus. Ancaman kepupusan ini boleh berlaku sekiranya perdagangan spesies ini tidak dikawal dan dipantau. Penguatkuasaan spesies ini adalah tertakluk di bawah CITES dan juga Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686). Perdagangan spesies ini dibenarkan dengan pengeluaran dokumen yang berkaitan iaitu permit CITES. Jabatan Pertanian melalui Bahagian Biosekuriti Tumbuhan merupakan Pihak Berkuasa Pengurusan (MA) yang bertanggungjawab bagi pengeluaran permit CITES untuk tumbuhan daratan dan air tawar (kecuali kayu).

Bagaimanakah Permohonan Permit Boleh Dibuat?

Mulai tahun 2016, Permohonan Permit CITES perlu dibuat secara dalam talian di http://myphyto.gov.my. Permohonan perlu dibuat dua (2) hari sebelum tarikh pemeriksaan konsainan dan boleh dihantar kepada mana-mana Pejabat Pengeluar CITES, Bahagian Biosekuriti Tumbuhan, Jabatan Pertanian berikut :

  • Kuala Lumpur
  • Johor Bahru, Johor
  • Butterworth, Pulau Pinang
  • KLIA, Sepang, Selangor
  • Cameron Highlands, Pahang
Pemeriksaan Konsainan

Pemeriksaan konsainan dijalankan bagi Permohonan Permit Eksport dan Re-Eksport CITES. Ianya bertujuan bagi memastikan maklumat tumbuhan yang hendak dieksport adalah sama seperti yang dinyatakan dalam permohonan. Kesemua konsainan hendaklah ditunjukkan semasa pemeriksaan dijalankan. Pemohon boleh menentukan sama ada pemeriksaan dijalankan di Pejabat Bahagian Biosekuriti Tumbuhan atau di premis pemohon sendiri. Selepas pemeriksaan dijalankan dan kesemua syarat dipatuhi, permohonan akan dipertimbangkan untuk kelulusan.

Bayaran dan Pengambilan Permit
Setelah permohonan diluluskan, pemohon perlu membuat bayaran secara online atau manual sebanyak RM50.00/permit. Permit akan dicetak setelah bayaran diterima dan pemohon perlu mengambil sendiri permit tersebut di pejabat pengeluar yang berkenaan.
Pendaftaran Nurseri

Di bawah Akta 686, terdapat keperluan untuk membuat pendaftaran untuk menghasilkan tumbuhan dibiakkan secara buatan khasnya bagi syarikat/nurseri yang menjalankan perdagangan antarabangsa spesies terjadual di bawah CITES. Pendaftaran ini boleh dibuat dengan mengisi Borang Pendaftaran Menghasilkan Tumbuhan Dibiakkan Secara Buatan.

Untuk maklumat lanjut mengenai CITES, sila layari http://www.cites.org