Program Pembangunan Pertanian Komuniti
Pembangunan Pertanian Komuniti atau juga dikenali program pertanian bandar merupakan program yang membantu isi rumah meringankan kos sara hidup melalui pengeluaran sendiri bahan makanan melalui bimbingan Jabatan Pertanian. Program ini melibatkan penduduk, sekolah, institusi dan usahawan pertanian bandar dengan kerjasama dan penglibatan pelbagai Jabatan dan Agensi yang berkaitan di peringkat Negeri dan Persekutuan.
Program Pembangunan Pertanian Komuniti berperanan sebagai salah satu strategi untuk menggalakkan interaksi sosial antara penduduk tempatan. Selain itu, pertanian komuniti membantu meningkatkan motivasi diri para peserta program dengan kemampuan untuk membentuk komuniti sendiri dan bekerja secara berpasukan untuk menghasilkan produk makanan sama ada untuk kegunaan sendiri atau untuk dijual.
- Membantu mengurangkan kos sara hidup.
- Mewujudkan aktiviti pertanian komuniti bagi memastikan pengeluaran bahan makanan mencukupi, berkualiti dan selamat dimakan.
- Mewujudkan interaksi sosial dan menggalakkan komunikasi di kalangan komuniti.
- Permohonan terbuka kepada semua warganegara Malaysia dan terhad kepada satu permohonan sahaja.
- Berminat dan bersedia memberi komitmen sepenuhnya kepada pelaksanaan program.
- Bagi kategori individu, dilaksanakan secara individu berkelompok (minimum 10 orang) di kawasan kediaman masing-masing.
- Bagi kategori usahawan, peserta mestilah menjalankan aktiviti jualan/pemasaran hasil pertanian, peralatan pertanian, input pertanian.
- Bagi kategori komuniti, sekolah dan institusi, projek dilaksanakan secara berkumpulan dengan bilangan minima 10 orang peserta.
- Tapak projek perlu mendapat kebenaran pemilik tanah atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
- Mematuhi peraturan tempat kediaman yang berkuatkuasa.
- Keutamaan kepada yang telah menjalankan aktiviti penanaman (pemohon perlu mengemukakan bukti gambar kebun semasa).
- Kelulusan permohonan juga tertakluk kepada nilai peruntukan tahun semasa.
-
Individu / Usahawan
Program dilaksanakan secara individu / usahawan pertanian bandar sama ada di kawasan kediaman, tanah kosong dan sebagainya untuk menjana pendapatan melalui pengeluaran dan jualan hasil. Bagi kategori individu, dilaksanakan secara individu berkelompok (minimum 10 orang). Bagi kategori usahawan, peserta mestilah menjalankan aktiviti jualan/pemasaran hasil tanaman, peralatan pertanian / input pertanian.
Taman Intan, Kluang, Johor -
Komuniti
Program ini melibatkan kawasan penanaman yang dikenal pasti di sekitar pangsapuri / kediaman yang dilaksanakan bersama oleh penduduk secara komuniti. Aktiviti pertanian dapat untuk menjana pendapatan komuniti melalui pengeluaran dan jualan hasil. Aktiviti ini juga dapat memupuk semangat kerjasama dan keharmonian di antara kejiranan dan mengindahkan lagi landskap di sekitar kawasan tersebut. Bagi kategori komuniti projek dilaksanakan di sekitar kawasan secara berkumpulan dengan bilangan minima 10 orang peserta.
Komuniti Kg. Sg. Ular, Hulu Terengganu, Terengganu -
Sekolah
Melaksanakan aktiviti pertanian di sekolah bagi mengajaran dan pembelajaran serta mendedahkan pelajar, guru dan ibu bapa kepada kepentingan aktiviti pertanian untuk pengeluaran makanan dan melalu aktiviti dapat menjana pendapatan di samping mengindahkan landskap di persekitaran sekolah. Pelajar dapat menjalankan aktiviti fizikal melalui aktiviti pertanian. Bagi kategori sekolah, projek dilaksanakan secara berkumpulan dengan bilangan minima 10 orang peserta.
Sekolah Kebangsaan Ayer Panas, Kuala Lumpur -
Institusi
Melaksanakan aktiviti pertanian menggunakan pelbagai kaedah yang sesuai di kawasan institusi, pejabat kerajaan, pejabat swasta dan sebagainya bagi menghasilkan bekalan makanan yang berkualiti dan selamat dimakan selain mengindahkan landskap kawasan. Bukan itu sahaja malah aktiviti ini dapat mengeratkan hubungan baik di antara warga kerja. Bagi kategori institusi, projek dilaksanakan secara berkumpulan dengan bilangan minima 10 orang peserta.
Balai Bomba Dan Penyelamat Rancha-Rancha, WP Labuan
Mana-mana yang berminat untuk menyertai progam ini perlu membuat permohonan dengan menggunakan borang yang disediakan seperti di Lampiran 1. Borang boleh dimuat turun dari Laman Web Jabatan Pertanian atau dengan menghubungi Pejabat Pertanian Daerah / Kawasan berdekatan untuk perkhidmatan atau keterangan lanjut. Borang permohonan yang telah lengkap diisi hendaklah dimajukan kepada ke Pegawai Pertanian Daerah / Kawasan berkenaan.
Selepas permohonan diterima, Pegawai Jabatan Pertanian Daerah / Kawasan akan melawat kawasan projek untuk menentukan lokasi, keluasan projek serta mencadangkan kategori projek yang sesuai.
Lampiran 1 - Borang Permohonan Program Pembangunan Pertanian Komuniti
Program ini dijangka mendapat outcome sebagaimana berikut :
- Pengeluaran hasil pertanian yang selamat dimakan sebanyak 8,800 metrik tan pada tahun 2025.
- Pengurangan kos sara hidup sebanyak RM1,296.00 pada tahun 2021 kepada RM1,680.00 pada tahun 2025.